KUALA LUMPUR - Kedudukan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah hanya boleh ditentukan menerusi undi tidak percaya di Dun atau kuasa pada Jemaah Pemangku Sultan negeri itu, kata pakar-pakar perlembagaan.
Profesor Undang-undang, Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata jika sidang Dun Kedah sedang berlangsung, kedudukan Mukhriz perlu ditentukan berdasarkan sokongan ahli-ahli Dun itu. "Kedudukannya di dewan bergantung pada sokongan majoriti sama ada dari Adun kerajaan atau Adun-adun lain," katanya kepada Bernama hari ini.
Bagaimanapun, katanya jika sidang Dun Kedah tidak berlangsung ketika ini, kuasa membuat keputusan berkaitan kedudukan Mukhriz tertakluk di bawah Jemaah Pemangku Sultan Kedah memandangkan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika ini sedang menduduki jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
"Buat masa ini, kita kena tunggu dan lihat apa yang akan berlaku seterusnya," kata beliau. Shad diminta mengulas mengenai pengumuman oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini yang menyatakan hampir seluruh kepimpinan Ummno Kedah menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.
(sumber petikan : Sinar Harian)
---------------------------------------------------------------------------------
Begitulah percaturannya...
Yang tak sehaluan harus disingkir,
Janji setia sepasukan terpaksa dimungkir,
Jika mahu kekal menjadi yang berkuasa.
Begitulah namanya demokrasi...
Yang diangkat mungkin si pandir,
Yang bijak lagi layak mungkin tersingkir!
Pemimpin rosak terus tegak berdiri,
Biar hilang keyakinan seluruh rakyat pun tidak bererti,
Mereka tersenyum di bawah payung demokrasi!
Nota : Bukanlah nak menghasut korang untuk membenci demokrasi, kerana ia satu-satunya medium memilih pemimpin yang negara kita amalkan. Tapi, demokrasi telah memaksa kita membisu dan membutakan mata menyaksikan segala kehancuran di depan mata!