Quantcast
Channel: Titian Perjalanan
Viewing all 915 articles
Browse latest View live

Penulis Novel Kegemaran | Tere Liye

$
0
0
Selain Ramlee Awang Murshid, saya turut menggemari hasil karya seorang penulis Indonesia - Tere Liye. Saya mula 'berkenalan' dengan karya penulisan Tere Liye melalui novel Rindu, sekitar tahun 2017. Selepas itu saya menjadi benar-benar 'rindu' nak membaca semua karya yang dihasilkan beliau, dan mula menjadi pengumpul koleksi novelnya.

Koleksi karya Tere Liye milik saya buat masa ini, ada 18 buah. Dan masih banyak lagi yang belum saya miliki dan baca. Semua ni novel, kecuali Dikatakan Atau Tidak Dikatakan Itu Tetap Cinta merupakan kumpulan sajak. Ajaibnya, saya bukan peminat sajak tapi kali ini boleh suka dengan sajak-sajak beliau.

Menariknya karya Tere Liye, tema ceritanya pelbagai. Menjadikan saya tak bosan membaca setiap novelnya. Kisah perjuangan hidup, politik, cinta, konflik diri, agama, inspirasi, fiksyen sains, fantasi dan humor semuanya diolah dengan sangat menarik.

Kalau ditanya mana satu novel Tere Liye yang best dibaca? Boleh saya katakan semua koleksi yang saya miliki di atas memang best dibaca. Kecuali satu saja yang saya kurang terasa nikmat sewaktu membacanya - Berjuta Rasanya. Dan kalau ditanya novel mana satu untuk saya cadangkan bagi pembaca yang pertama kali mahu 'berkenalan' dengan karya Tere Liye? Jawapan saya - novel Rindu. Itu jawapan saya, berdasarkan minat saya.

Novel bersiri genre fantasi dan fiksyen sains yang sesuai untuk remaja. Tapi saya yang 'remaja purba' pun sangat meminati novel siri Bumi ni, sentiasa ternanti-nanti novel sambungannya.


Tere Liye...Bukan Nama Sebenar
Ramai yang menyangka Tere Liye itu seorang wanita berdasarkan nama. Hakikatnya, beliau adalah seorang lelaki dengan nama sebenarnya Darwis. Menariknya, beliau adalah seorang akauntan dan menulis novel hanya sebagai hobi.

Beberapa karyanya juga pernah diadaptasi ke filem - Hafalan Shalat Delisa, Moga Bunda Disayang Allah dan Bidadari-Bidadari Surga.


Ada sesiapa geng saya - peminat karya Tere Liye? 🙋


Flora di Taman Negara Pahang, Kuala Tahan

$
0
0
Hari ke-18 kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini bermaksud sudah 19 hari saya berkurung di rumah. Kali terakhir saya keluar adalah pada hari Isnin 16 Mac 2020, menemani suami ke Mersing atas urusan kerja.

Saya tak menghadapi masalah berkurung di rumah, sebab dah terbiasa. Cuma sesekali ada kerinduan pada suasana di hutan. Mujur sekali saya sempat menikmati hijau alam di Dabong, Kelantan dan kemudiannya di Taman Negara Pahang pada penghujung Februari. Terima kasih Allah atas segala kesempatan ini.

Bila tak dapat masuk hutan, membelek gambar pun sudah cukup memberi rasa gembira dan penawar seketika sementara PKP. Inilah gambar-gambar flora di Taman Negara Pahang yang menarik perhatian saya dan yang sempat saya ambil gambarnya...

1.

2.

3.

4.

5.

6.

7. Dedaun yang macam pokok semalu ni agak unik, mempunyai warna yang menarik - hijau kebiruan. Juga unik sebab daunnya mempunyai warna berbeza pada satu tangkai yang sama.


Alam semulajadi kelihatan seperti bisu dan kaku, tetapi tidak bagi sang pencintanya. Yang melihat setiap sudut alam itu sebagai satu keindahan dan kebahagiaan.


Philips Chopper Pengganti Lesung

$
0
0
Dah agak lama saya berhajat nak beli satu alat yang boleh menggantikan kerja menumbuk lesung.

Kalau memasak kuantiti banyak, saya terus je gunakan blender. Tak ada masalah. Tapi kalau sekadar untuk masakan harian yang sedikit atau perlu kering, kena jugak ketang ketung menumbuk. Dan pada kebanyakkan masa tentulah saya masak sedikit, ahli rumah cuma dua orang 😀

Selepas fikir-fikir (baca : buat carian internet, baca review orang, lihat perbandingan harga), saya akhirnya buat keputusan nak membeli Philips Chopper. Dah tau brand, model dan harga normal, bolehlah tunggu bila Shopee atau Lazada ada buat sale. Hehe...bukan barang kategori urgent pun kan. Ngam kena harga yang kita nak...cepat-cepat klik beli.

Alhamdulillah...dapat beli Philips Daily Collection Chopper model HR1393/01 pada harga RM83 di Shopee. Ada sale di kedai Philips Official Estore, dapat juga percuma pos. Beli 31 Mac, dengan pantasnya dapat pada 2 April.

Jom ler kita cuba...ni nak 'menumbuk' bawang, kunyit, halia dan serai. Saya potong kecik-kecik jugak supaya lebih mudah hancur. Haha...dah terbiasa buat untuk menumbuk.

Inilah hasil beberapa kali tekan. Chopper ni guna kaedah tekan-tekan (easy press-down operation). Sama macam menumbuk di lesung, bolehlah kita sesuaikan nak kasar atau halus mana.

Setakat ni saya puashati dengan chopper ni. Mudah untuk bahan masakan yang sedikit, senang nak menumbuk cili tak lagi terpercik ke mata dan dah boleh kisar kering. Nak guna untuk kisar basah (letak air sedikit) pun boleh.

Satu lagi ciri penting - ia mudah dibasuh. Ada 3 bahagian yang perlu dibasuh - mangkuk (bowl), bahagian pisau (mudah pasang/buka) dan penutup. Nak beli apa-apa alatan dapur, memang inilah antara ciri yang mesti kita ambil kira. Kalau leceh, lama-lama kita jadi malas nak pakai. Membazir beli.

Kot esok-esok rindu nak menumbuk, boleh la guna balik lesung tu. Ketang ketung...lain feel memasak tu kan! Dan selepas ini blender saya tak lagi perlu buat dua kerja berbeza - kadang kisar buah untuk buat jus, kadang kisar bahan masakan. Mujur setakat ni belum pernah lagi jus tembikai saya rasa bawang/serai/cili 😅


Bingka Labu Lemak Manis

$
0
0
Beberapa hari ni kawan tayang Bingka Labu buatannya, kebetulan kat rumah ni memang ada labu. Terus rasa nak cuba buat jugak, walaupun Bingka Labu bukanlah kategori kuih yang diminati. Saya buat carian di internet, pilih-pilih nak ikut resepi mana satu. Lepas tu check bahan hampir semua ada atau ada bahan pengganti, kecuali esen vanila dan bijan. Ah...buat jugaklah walaupun tanpa dua bahan tu. Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni tak bolehlah sikit-sikit nak keluar cari barang, pakai jelah apa yang ada.

Saya pilih ikut resepi dari blog yatiememories. Saya catatkan semula di sini untuk mudah saya rujuk pada masa akan datang. Untuk bahan-bahan saya ambil terus dari blog beliau, manakala untuk cara-cara tu saya sesuaikan dengan cara saya.


BINGKA LABU LEMAK MANIS
=========================
Bahan-bahan :
  • 2 biji telur
  • 2 cawan santan (saya guna 1 kotak santan 200ml dan air biasa)
  • 1/2 cawan susu cair (saya guna Dutch Lady Full Cream Milk)
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan gula pasir halus
  • 1/2 cawan susu pekat manis
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil esen vanila (saya tak letak, tiada stok)
  • 2 sudu besar butter / minyak sapi (saya guna minyak masak)
  • 2 cawan labu yang telah direbus, tos dan dilecek (saya kukus dan lecek)
  • sedikit bijan untuk ditabur di atas permukaan kuih (saya tak letak, tiada stok)

Cara-cara :
  1. Kupas kulit labu, potong kecil dan kukus sehingga lembut. Lecekkan dan sukat untuk 2 cawan.
  2. Dengan menggunakan blender, satukan semua bahan di atas (kecuali bijan). Kisar sehingga sebati dan halus.
  3. Tuang adunan ke dalam loyang, taburkan bijan dan bakar (saya guna Panasonic Microwave Oven - terus masukkan dan tekan auto menu 'CAKE').
  4. Dah masak, biarkan sejuk sekitar 2-3 jam sebelum dipotong.

* labu yang dilecek tu saya bahagi dua. Satu bahagian saya blend sekali, manakala satu bahagian lagi saya cuma masukkan dalam adunan dan dikacau rata. Tujuan supaya masih ada tekstur labu pada bingka tu nanti.

* preset time untuk auto menu kek pada microwave oven saya adalah 45 minit. Dah siap tu saya tekan sekali lagi auto menu kek untuk tambahan masa selama 15 minit. Tujuannya supaya permukaan bingka lebih berkerak.

------------------------------------------

Saya kukus labu guna Philips Pressure Cooker (PPC). Letak labu atas dulang pengukus, bawahnya letak sedikit air. Tutup periuk - tombol SEAL - mode STEAM/STEW - set KPT 10 mins - Start. Hasilnya labu sangat lembut. Dalam gambar di atas ni yang dah siap kukus.

Adunan yang dah dikacau rata dengan satu bahagian labu lecek. Masuk dalam loyang non stick, tapi sebab risau kot la melekat jugak maka saya sapu dengan marjerin.

Inilah hasilnya....BINGKA LABU. Ni saya potong selepas lebih 2 jam. Itu pun masih terasa hangat. Kenapa tak boleh potong panas-panas? Sebab bingka belum mengeras, potong jadi tak cantik. Juga gunakan pisau plastik supaya tak melekat dan potongan cantik. Lagi pulak loyang non stick memang tak bolehlah guna pisau biasa.

Alhamdulillah...saya agak puashati dengan hasil percubaan kali ni. Cuma, disebabkan tak letak esen vanila maka ada berbau telur sedikit. Takpelah, lain kali boleh buat lagi dengan bahan yang lengkap. Saya ni jarang sangat buat kuih/kek, tu pasal tak simpan esen vanila bagai. Tiba-tiba masa PKP ginilah rajin nak masak itu ini...huh!


Grave of The Fireflies | Derita Si Kecil Mangsa Perang

$
0
0
Sebuah filem lama yang baru saya ketahui dan menontonnya. Kisah yang membekas di hati saya.


Grave of The Fireflies, sebuah filem animasi Jepun mengenai kisah perjuangan hidup dua beradik di Kobe, Jepun pada bulan-bulan terakhir Perang Dunia Kedua. Filem hasil garapan Isao Takahata dan animasi oleh Studio Ghibli ini dihasilkan pada tahun 1988.

Filem berlatarkan tahun 1945 ini dihasilkan berdasarkan kisah benar yang ditulis oleh Akiyuki Nosaka.


Dua beradik iaitu Seita (14 tahun) dan adiknya Setsuko (4 tahun) melalui pelbagai kesukaran untuk terus bertahan hidup sewaktu meletusnya Perang Dunia Kedua. Seita digambarkan sebagai seorang abang yang sangat prihatin dan menyayangi adiknya Setsuko.


Sepanjang menontonnya, memang mudah saya mengalirkan air mata bila melihat si kecil Setsuko dan abangnya melalui penderitaan kesan peperangan ini.

Detik yang paling hiba, apabila Setsuko menghulurkan rice ball yang dibuatnya (gambar di atas) kepada Seita. Rice ball tersebut sebenarnya hanyalah kepalan lumpur/tanah, hasil imaginasi Setsuko yang sedang kelaparan 😢. Dan selepas itu, Setsuko akhirnya menemui ajal akibat kebuluran. Begitu juga abangnya, Seita.


Official trailer Grave of The Fireflies

Sesungguhnya, peperangan mengakibatkan kesengsaraan hidup dan meninggalkan parut luka yang amat dalam kepada yang melaluinya.

Bagi yang belum pernah menonton filem animasi ini, bolehlah menonton bersama anak-anak supaya mereka memahami derita peperangan dan lebih menghargai kehidupan yang ada.


Perang Dunia Melawan COVID-19

Hari ini, dunia sekali lagi sedang berperang. Sebuah peperangan menentang sesuatu yang tak nampak dek mata kasar, namun kesannya besar jika tertewas. Detik ini, kita hilang kebebasan untuk hidup normal. Dan ramai juga yang sedang menderita kekurangan makanan, kesan peperangan ini.

Esok, bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga (15 April - 28 April 2020). Semoga kita semua terus bertahan untuk berjuang 'duduk di rumah'. Memang tak mudah, saya sendiri kadang-kala terasa stress. Entah rindukan bau hutan, atau entah bosan dek terperap di rumah tanpa sekali pun keluar sejak PKP dilaksanakan. Apa pun yang kita rasa, kita tiada pilihan selain terus berjuang. Kepada Allah kita memohon kekuatan jiwa. Kita mesti menang!

Akhirnya...Sampai Jua Barang Yang Menjadi Buruan Ramai

$
0
0

Alhamdulillah...semalam dah selamat sampai medical face mask / topeng muka yang menjadi barang buruan ramai di musim COVID-19. Harganya RM76 sekotak dan caj pos RM7 (SM). Sekotak ada 50 unit.

Saya beli 3-ply face mask ni pada 21 Mac lalu, barang dijangka tiba dari China pada 4 April. Penjual seterusnya pos kepada saya pada 10 April lalu, dan semalam 17 April baru sampai. Agak lama dalam perjalanan, tersangkut di sana sini dek 'kesesakan' orang ramai membeli-belah secara online.


Masa saya beli tu, memang susah nak mencari penjual yang menawarkan harga yang sanggup saya bayar. Ramai juga yang menjual melebihi harga siling ditetapkan kerajaan (rujuk gambar di atas). Ada seorang penjual yang saya hubungi menjual sehingga RM169 sekotak untuk 3-ply, sedangkan harga siling cuma RM100 sekotak. Masing-masing ambil kesempatan dek kurangnya stok face mask di pasaran pada ketika itu.

Sehingga akhirnya saya dapat membeli daripada seorang sahabat blogger - Munn (dah lama tak aktif menulis, tapi dia aktif berniaga barangan dari China). Harga berpatutan dan paling penting saya kenal dia dengan baik, tidaklah risau tertipu. Sebab masa tu banyak juga beredar viral mengenai kes kena tipu, risau jugak kan.


HARGA SILING TURUN KEPADA RM1.50 SEUNIT
Terkini, pada 30 Mac 2020 kerajaan telah pun menurunkan harga siling untuk topeng muka 3-lapis daripada RM2 kepada RM1.50 seunit. Iaitu RM75 sekotak.

Untuk bulan April ni nampaknya memang dah tak terlalu susah untuk kita cari face mask. Masing-masing dah dapat stok dari China. Ada yang jual serendah RM65 sekotak di Facebook.

Walaupun selepas berakhirnya PKP, saya rasa kita tetap perlu menggunakan face mask sebagai langkah berjaga-jaga bila berada di khalayak awam. Sehingga bila? Entahlah...mungkin sehingga tiada lagi pesakit COVID-19 yang dirawat. Iaitu sehingga negara kita bebas dari wabak yang membawa kematian ini.

Tahukah Wahai Diri, Ke Mana Engkau Sedang Memandu?

$
0
0
Tajuk : Jalan Sehala
Penulis : Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit : Jejak Tarbiah Publication
Tahun terbit : 2019
Jumlah muka surat : 370
Harga : RM30


Jalan Sehala merupakan buku pertama Hasrizal Abdul Jamil yang saya baca dan miliki. Sebelum ini saya pernah mengikuti penulisannya di laman web saifulislam.com dan kemudiannya di Facebook Page My Learning Journey.

Sewaktu kunjungan saya ke Galeri Jejak Tarbiah di Bangi, mata saya tertarik kepada buku ini. Saya membelek-belek isi buku dan membaca bahagian isi kandungan. Staf bertugas memberitahu 'buku ni agak 'berat''. Bagus sungguh staf ni tahu hampir setiap buku yang saya pegang dan menerangkan isi buku berkenaan apa.

Hmm...tak kan asyik nak baca bahan bacaan ringan je kan, sesekali minda kita perlu di isi dengan bacaan berat. Maka buku pemikiran kritis ini menjadi buku bacaan ke-3 saya untuk tahun 2020.

Sebahagian isi kandungan buku Jalan Sehala
Jalan Sehala merupakan nukilan kritis penulis terhadap pemanduan hidup manusia. Ibarat memandu sebuah kenderaan, cermin kanan memperlihatkan hal-hal positif dalam hidup yang patut kita syukuri. Cermin kiri mengingatkan kepahitan hidup dan ujian yang datang, ia boleh jadi sebagai kaffarah atas dosa, mahupun untuk meningkatkan darjat diri di sisi Tuhan. Cermin belakang menampakkan pengalaman silam yang mengandungi iktibar dan amaran. Manakala yang paling utama adalah cermin hadapan, perlu jelas dan tidak kabur untuk kita menempuh perjalanan dengan selamat.

Membaca buku begini memang terasa berat untuk dihadam, saya mengambil masa agak lama untuk menghabiskan bacaan. Kerap kali saya membaca berulang-ulang satu perenggan dek nak memahami atau kerana tertarik dengan ayatnya.

Oleh sebab membaca buku ini jugalah saya tahu mengenai Helen Keller dan menonton filem The Miracle Worker yang sungguh menginsafkan. Saya juga membuat carian Internet mengenai perkara-perkara lain yang sungguh terasa asing pada pengetahuan saya. Dan banyak juga yang saya tak mampu memahami dengan baik dek keterbatasan ilmu dan pemikiran saya. 


Petikan Buku
Saya sertakan di sini beberapa ayat yang menarik dan perlu disemat di dalam pemikiran kita.
  • Carilah ilmu, agar menyukai dan membenci, bukan sekadar ikut-ikutan. (m/s 84)
  • Tanda dunia ini dibelenggu kebodohan, apabila hidup kita dibingitkan oleh pendapat dan komen semua orang dalam semua perkara. (m/s 97)
  • Apabila mereka itu tidak Islam, ertinya kita harus lebih baik daripada cara mereka mengendalikan diri. Mereka membalas kejahatan dengan kejahatan. Kita membalas kejahatan dengan kebaikan. (m/s 127)
  • ..tidak minat bukanlah hujah untuk tidak mengambil tahu atau membiarkan diri dalam kejahilan. (m/s 185)
  • Lebih banyak ilmu dicari, akal berfikir, bertambahlah fahamnya seseorang itu, dan meningkatlah darjatnya dari satu kedudukan kepada kedudukan yang lebih baik. (m/s 208)
  • Usia matang ialah paksaan semula jadi. Fikiran matang ialah pilihan diri. (m/s 219)
  • Berlaku adil kepada kawan dan lawan ialah prinsip tinggi dalam Islam. (m/s 271)
  • Jika membenci, jangan sampai menzalimi. Jika mencintai, jangan sampai hilang pertimbangan. Kesetiaan kita bukan pada individu, aliran dan pemikiran. Kesetiaan kita adalah pada kebenaran. Kebenaran yang mendekatkan kita kepada al-Haq, Tuhan yang Esa, Pemilik agama ini. (m/s 284)

Buku ini bagi saya sangat bagus dan membuat kita berfikir mengenai banyak perkara disekeliling kita. Sangat disarankan untuk bacaan remaja / orang muda bagi membentuk pemikiran yang kritis dan luas.

Bacaan Al-Quran Secara Berkumpulan di Grup WhatsApp

$
0
0

SOALAN

Dalam situasi kuarantin musim COVID-19 sekarang, tular dalam masyarakat kita untuk membahagikan bacaan al-Quran mengikut juzuk. Kebiasaannya akan dibuat di satu grup WhatsApp untuk membahagikan bacaan al-Quran mengikut juzuk masing-masing.

Situasi ini juga sering berlaku setiap kali menjelang bulan Ramadhan, kemudiannya setelah habis (sorang sejuzuk) mereka akan buat majlis khatam al-Quran.

Maka :
1. Apakah hukum membahagi bacaan juzuk al-Quran seperti di atas?
2. Adakah ia telah dikira sebagai khatam Al-Quran dan mendapat fadhilat majlis khatam Al-Quran?


JAWAPAN

1. Hukum membahagi bacaan al-Quran mengikut juzuk.
  • Rasulullah S.A.W tidak menentukan kaifiat atau cara khusus untuk mengkhatamkan Al-Quran. Maka, tiada halangan untuk membahagikan bacaan al-Quran mengikut juzuk. Ia merupakan ikhtiar untuk menggalakkan masyarakat memperbanyakkan bacaan al-Quran.
  • Yang penting,  kita harus fokuskan kepada kualiti bacaan dengan meraikan hukum tajwid dan tadabbur (memahami dan menghayati makna al-Quran itu sendiri).

2. Adakah ia dikira khatam al-Quran dan mendapat fadhilat khatam al-Quran?
  • Tetapi, seseorang itu hanya dikira khatam Al-Quran apabila dia berjaya menghabiskan bacaan 30 juzuk secara penuh (iaitu dari juzuk 1 hingga juzuk 30) atau dia mendengar bacaan 30 juzuk secara bertadarus, iaitu saling memperdengarkan bacaan masing-masing sesama ahli tadarus.
  • Sekiranya dia membaca bahagiannya atau juzuk tertentu sahaja, dan tidak pula membaca atau mendengar bacaan daripada juzuk-juzuk berbaki maka hal itu tidak dianggap sebagai khatam al-quran.
  • Antara fadhilat majlis khatam al-Quran ialah diturunkan rahmat dan doa yang mustajab ketika majlis tersebut.
  • Sekiranya terdapat salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut berjaya mengkhatamkan Al-Quran, maka fadhilat majlis khatam al-Quran itu akan diperoleh oleh semua orang yang menghadirinya. 
  • Sekiranya tiada dalam kalangan ahli kumpulan tersebut yang berjaya mengkhatamkan Al-Quran, maka ahli kumpulan tersebut tidak mendapat fadhilat khusus majlis khatam al-Quran. Akan tetapi mereka tetap mendapat kelebihan majlis zikir yang juga dihadiri oleh para Malaikat. Wallahu a'lam.

Jawapan diambil dari laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Untuk huraian jawapan lebih terperinci, boleh baca di laman web muftiwp.gov.my 

Atau boleh juga dengarkan penjelasan berkaitan khatam al-Quran oleh Dr. MAZA di YouTube :



Buat rakan-rakan blogger,
SELAMAT MENJALANI IBADAH DI BULAN RAMADHAN ❤️
Catatan sejarah buat kita semua untuk berada di bulan Ramadhan dalam situasi negara sedang melawan COVID-19. Allah jua penentu segala, kita hanya hamba-Nya yang lemah.



Kenangan Kesibukan Berniaga Online di Bulan Ramadhan

$
0
0
Hari ini hari ke-7 kita menjalani ibadah puasa. Juga hari ke-2 kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 yang dijadualkan sehingga 12 Mei 2020.

Tidak seperti Ramadhan tahun-tahun sebelumnya, di mana saya sibuk dengan urusan jualan tudung secara online (kadang-kala ada juga tambahan jualan baju dan anak tudung berdagu). Ramadhan tahun ini saya bebas dari rutin buat iklan di Facebook dan Instagram, kemaskini stok di blog jualan, melayan juga menerima pesanan pelanggan di WhatsApp, Facebook dan Instagram, membeli stok jualan, memeriksa stok tudung yang diterima, melakukan kerja pembungkusan untuk di pos, menulis borang pengeposan dan memastikan tudung selamat sampai ke tangan pelanggan. Fuh!

Saya hadkan masa melayan pelanggan sehingga jam 11 malam sahaja (samada pada bulan puasa atau hari-hari biasa), tetapi mula melayan pelanggan seawal waktu sahur (pada bulan puasa). Biasanya pada bulan puasa, pelanggan lebih aktif membuat pembelian pada waktu lewat malam dan waktu sahur membawa ke selepas Subuh.

Setiap tahun, memang saya alami kesibukan luar biasa pada bulan puasa berbanding bulan-bulan lain. Lebih tepat, kesibukan bermula sebelum puasa dan semakin berkurang pada pengujung puasa. Pada masa ini sahajalah peluang untuk menjana pendapatan lebih tinggi dari biasa. Rekod jualan bulanan tertinggi adalah pada tahun 2017 iaitu melebihi RM10,000. Tahun tersebut juga mencatatkan rekod paling cemerlang sepanjang saya menjual secara online, dengan jualan menghampiri RM72,000. Tapi jangan salah faham pulak ya, itu adalah nilai jualan dan bukan nilai keuntungan yang diraih.

Biarpun taklah begitu banyak, tetapi untuk saya yang bekerja sendiri dari rumah ia sudah cukup memuaskan hati. Memang sangat penat, kadang sampai lenguh jari-jemari melayan pelanggan tak henti-henti.

Sehinggalah pada tahun lepas (2019), saya memutuskan untuk berhenti dari menjadi reseller tudung setelah melakukannya selama 6 tahun. Saya ada dua alasan - hilang minat dan permintaan yang semakin kurang (mungkin atas faktor kelembapan ekonomi semasa, persaingan pengeluar tudung yang makin banyak dan perubahan minat pelanggan). Maka, tahun 2019 menjadi tahun terakhir saya berniaga di bulan puasa.

Dan mulai tahun 2020, saya meneruskan jualan sebagai ejen dropship (tak pegang stok, cuma ambil pesanan dan urusan pos di buat oleh pembekal) sekadar untuk membantu regular customer mendapatkan tudung. Pada awalnya saya nak berhenti sepenuhnya, tapi bila dah lama berniaga tudung ni kita ada pelanggan biasa yang tetap cari kita untuk membeli. Maka, saya masih kekalkan medium jualan saya di Instagram. Manakala di Facebook dan blog semuanya saya tutup. Saya juga tak lagi aktif membuat iklan, sekadar meletakkan gambar produk di Instagram untuk pelanggan pilih.

Kat bawah ni gambar-gambar aktiviti jualan tudung saya sekitar tahun 2016 - 2018. Saya letak sini sebagai kenangan.

Bungkusan stok tudung yang baru diterima. Biasanya menggunakan kurier servis City Link. Kalau terlampau banyak, saya akan pergi ambil sendiri di Gombak.

Sebelum beli stok, saya ambil pesanan pelanggan terlebih dahulu. Saya ada wujudkan broadcast di WhatsApp untuk para pelanggan yang pernah membeli daripada saya (saya masukkan mereka dengan izin dan kerelaan mereka). Mudah saya broadcast sebarang promosi/tudung terkini. Jadinya kita taklah beli kurang atau lebih berbanding permintaan. Macam tudung dalam gambar ni, 67 helai daripada 101 helai sudah pun ada tuan punya. Bakinya untuk jualan terbuka di blog/Facebook/Instagram.

Selepas setiap helai tudung diperiksa, barulah boleh bungkus mengikut pesanan pelanggan. Sekali lagi letih jari dek menulis maklumat pelanggan pada borang pos. Mujur juga untuk bahagian maklumat penghantar sudah sedia dicetak oleh pihak Pos Laju (saya buka akaun dengan Pos Laju).

Dah siap bungkus, letak dalam bakul di luar rumah. Tunggu posmen datang ambil. Tapi kan datang tak tentu masa, jadinya susah untuk saya sentiasa menunggu. Saya tinggalkan pesanan begini. Lama-lama saya dah tak perlu tunggu, posmen dah tau buka pagar sendiri, ambil bungkusan dan tinggalkan borang salinan untuk saya. Sangat mudah! Sebagai tanda penghargaan, pernah beberapa kali saya berikan biskut raya kepada mereka.

Inilah rak putih menempatkan stok jualan saya. Tak jumpa pulak gambar berwarna, jadiklah yang ni sekadar untuk kenangan. Sekarang rak ni dah kosong, tinggal beberapa helai tudung yang belum terjual.

Ok, selesai sudah catatan kenangan menjual tudung. Tiada lagi kesibukan serupa pada tahun ini. Barulah saya boleh kembali aktif menulis blog, dah tak sibuk kerja. Rutin Ramadhan kali ni pun turut berubah, saya dah boleh tidur seawal pukul 10 malam dan lebih masa untuk aktiviti sendiri.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas segala rezeki dan pengalaman ini.

Setelah 45 Hari...

$
0
0
Jumaat, 1 Mei 2020
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat jasad berkurung.
Dunia seharian hanya ruang di sekitar rumah.
Bilik tidur, bilik air, dapur, ruang tamu.
Sesekali keluar mengurus jemuran, juga sedikit pasu tanaman.

Tiada lagi acara jalan-jalan di hujung minggu.
Tiada lagi makan-makan di kedai bagi menghilang bosan masakan sendiri.
Atau aktiviti merentas hutan di Tanjung Tuan sebagai terapi jiwa.
Semuanya terhenti begitu sahaja.

Setelah 45 hari dengan pemandangan sama,
Akhirnya saya keluar seketika melihat dunia luar dari rumah.
Menyaksikan jalanan lengang bebas kesibukan.
Melihat kedai Semangkuk dan lain-lainnya sepi tanpa manusia.
Kehidupan tidak berjalan seperti biasa.

Begitu mudah Allah mengubah segala,
Tak perlu tempoh masa.
.
.
.
Kadangkala kita tak tahu sejauh mana kemampuan kita,
Sehingga kita diuji dan terpaksa melaluinya dengan berserah diri kepada Allah.
45 hari berkurung, inilah rekod paling lama buat saya.


Nota : Mulai 30 April 2020 (PKP fasa 4), kerajaan mengumumkan membenarkan dua orang bergerak dalam satu kenderaan dengan syarat kedua-duanya dari rumah yang sama.

Masak Tak Jadi Pun Nak Tunjuk Jugak?

$
0
0
Beberapa hari lepas...
Saya gigih mencuba buat kuih Kole Kacang.

Kuih kegemaran saya dan suami.
Nak beli, tak jumpa pulak orang menjual.

Elok dah beli tepung kacang hijau bagai,
eh...muncul pulak orang menjual.

Bahan semua dah ada,
kenalah teruskan projek buat Kole Kacang.
Buat carian resepi di internet.
Pilih resepi sukatan guna cawan.
.
.
.

Tahi minyak atau kerak santan ni terhasil daripada 1 cawan santan pekat. Dekat 30 minit jugak exercise tangan kacau santan sampai jadi gini. Bau sedap kemain!

Ringkaskan cerita...tadaaa...siap! Rupa kira jadiklah, rasa ok tak manis sangat, TAPI Kole Kacang ni masuk kategori masakan tak jadi sebab tak lembut 😭


Masak tak jadi pun nak tunjuk jugak?
Memang kena tunjuk kat blog sebagai kenangan.
Pernah la jugak saya cuba buat kuih Kole Kacang ni kan...haha!
Entah bila nak sampai seru untuk mencuba lagi.


Komet

$
0
0
Tajuk : Komet
Penulis : Tere Liye
Penerbit : PT Gramedia Pustaka Utama
Tahun terbit : 2018 (cetakan ke-6 2019)
Jumlah muka surat : 372
Harga : Rp95.000

Buku ni sebenarnya dah lama dibeli, iaitu sekitar Mac 2019 di Indonesia. Sengaja saya lewatkan pembacaannya memandangkan ini sahajalah karya Tere Liye yang ada pada saya (yang masih belum dibaca). Membaca hasil penulisannya seakan 'vitamin' bagi saya (buat masa ini), selagi boleh saya tak mahu habiskan jika masih belum ada stok buku baru penulisan beliau. Hehe...

Komet merupakan sebuah novel genre fiksyen sains dan fantasi, buku ke-5 dalam siri Bumi. Yang sebenarnya buku ke-6, sebab ada satu judul tu merupakan buku ke-4.5 dalam siri ini. Hmm...memang unik! Novel siri Bumi ini merupakan bacaan yang sesuai untuk remaja, tapi tak salah jika makcik-makcik seperti saya turut membaca dan meminatinya. Ya, saya suka baca pelbagai genre.


Kehidupan Berbeza Dimensi
Siri Bumi mengangkat kisah pengembaraan tiga sahabat iaitu Raib, Ali dan Seli ke dimensi kehidupan yang berbeza - bumi, bulan, matahari, bintang dan komet. Imaginasi penulis membawa kita (pembaca) untuk turut membayangkan kehidupan penduduk di dunia lain yang berbeza dengan penduduk bumi.

Dalam buku Komet, tiga sahabat ini melalui pengembaraan menuju Klan Komet dalam usaha mereka mencari suatu pusaka terhebat di dunia paralel. Mereka terperangkap di Kepulauan Komet yang penuh dengan pelbagai misteri. Mereka menemui Pelaut Kay, Kakek Key, Petani Kay, Dorokdok-dok, Pemimpin Otoritas Pulau Hari Jumaat dan Paman Kay - manusia berwajah serupa di pulau yang berbeza. Aneh!

Tiga sahabat ini juga melalui pelbagai ujian - kejujuran, kebaikan hati, kesabaran, kepintaran, keikhlasan, kekuatan dan melepaskan. Menerusi penceritaan yang menarik, penulis turut mendidik kita secara tak langsung tentang bagaimana sikap yang baik dalam menghadapi satu-satu situasi.

Antara isi buku.
Saya seronok membaca buku begini, seolah-olah kita ikut sama mengembara ke dunia aneh yang tak terjangkau dengan imaginasi sendiri. Kadangkala mendebarkan, kadangkala terasa lelah dan kadangkala terhibur dengan gelagat Ali. Tak sabar nak membaca sambunganya - Komet Minor, yang masih belum saya beli.

"Berhati-hatilah selalu. Di dunia ini ada banyak hal yang kita lihat tidak seperti terlihat. Ada banyak yang kita kenal, tapi tidak seperti yang kita kenal"
- Paman Kay, Komet -

Langkah Demi Langkah - Tunaikan Zakat Fitrah Negeri Johor melalui FAST PAY Zakat Fitrah Online

$
0
0
Sebelum ini, bayaran zakat fitrah di Johor hanya melalui amil di setiap kariah. Tetapi dengan serangan wabak COVID-19, pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menetapkan bayaran zakat fitrah tahun ini hanya melalui on-line (dalam talian) sahaja. 

Ada 5 kaedah untuk kita buat bayaran :
  1. Zakat Johor Online Payment di https://epayment.maij.gov.my/
  2. Fast Pay Zakat Fitrah Online di http://fitrah.maij.gov.my/
  3. Johor Online Payment di https://onlinepayment.johor.gov.my/
  4. SNAP N PAY QR Code
  5. Muat turun aplikasi SNAP N PAY
Semua kaedah pembayaran di atas mengenakan caj bank sebanyak RM0.50 kepada pemegang akaun bank. Info lanjut, kenyataan media dan soalan lazim boleh baca DI SINI.


LANGKAH DEMI LANGKAH - TUNAIKAN ZAKAT FITRAH NEGERI JOHOR MELALUI FAST PAY ZAKAT FITRAH ONLINE.

Saya tidak tinggal di Johor, tapi kali ini saya tunaikan zakat fitrah bagi pihak Mak saya yang tinggal di Johor. Walaupun handphone Mak ada internet, tapi Mak tak tahu untuk buat transaksi secara online. Perbankan internet pun tak ada. Internet Mak hanya untuk kemudahan WhatsApp.

Saya pilih untuk bayar melalui FAST PAY Zakat Fitrah Online. Lebih mudah dan memang pantas tanpa masalah. 

Klik http://fitrah.maij.gov.my/ dan akan nampak paparan begini. Seterusnya klik 'Bayar Zakat Fitrah'

Milikan pembayaran ada pilihan 'Diri Sendiri' atau 'Bagi Pihak Ketiga'. Saya bayar mewakili Mak, maka saya pilih 'Bagi Pihak Ketiga'. Masukkan MyKad Mak dan klik Semak. Selepas tu terus je terpapar maklumat Mak saya pada semua ruangan maklumat, kecuali ruangan e-mail yang masih kosong perlu saya isi (letak e-mail saya). Bagi pembayar baru, perlu isi sendiri semua ruangan maklumat.

Paparan seterusnya - akad zakat fitrah. Kita lafaz akad tersebut. Jangan baca dalam hati pulak tau, sebab 'lafaz' tu maksudnya sebut/bunyikan. Kemudian, klik 'Bayar Fitrah'.

Dah baca maklumat semua betul, boleh teruskan bayaran melalui bank pilihan kita.

Siap buat bayaran, akan terpapar Bukti Pembayaran begini. Saya screenshot je untuk mudah send WhatsApp sebagai gambar ke handphone Mak saya. Katanya resit rasmi akan dihantar melalui e-mail, tapi sehingga kini saya masih belum terima.

Alhamdulillah selesai dengan mudah! Cuma terkenangkan orang-orang yang tiada internet/perbankan internet, tentu susah hati. Pada masa ginilah perlunya saling tolong menolong sesama keluarga/jiran. Bagaimanapun bagi yang sudah berusaha sungguh-sungguh tapi masih gagal menunaikan zakat fitrah, boleh melakukan qada' zakat fitrah. Sila rujuk kepada yang arif berkaitan qada' zakat fitrah.


Sahabat blogger semua dah tunaikan zakat fitrah?

Kisah Malaysia Berkurung

$
0
0
Tajuk : KISAH MALAYSIA BERKURUNG - Pesan Cinta Daripada Tuhan
Penulis : Abdullah Bukhari Bin Abdul Rahim
Penerbit : Jejak Tarbiah Publications
Tahun terbit : 2020
Jumlah muka surat : 147
Harga : RM15

Buat pertama kalinya saya selesai membaca sebuah e-book. Biasanya sewaktu membaca, jari-jemari menyentuh helaian kertas buku. Tapi kali ini cuma memegang sebuah tablet dan menyelak helaian dengan sentuhan di hujung jari. Pengalaman yang berbeza! Disebabkan teringin nak membaca buku di atas yang pada masa saya membelinya hanya terbit dalam bentuk e-book, maka saya mula belajar menyesuaikan diri untuk membaca buku digital ini.

Sesuai dengan tajuk, isi utama buku digital ini adalah berkaitan isu-isu semasa yang berlaku di awal fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara kita. Isu-isu semasa tersebut dikupas dari sudut pandang seorang agamawan (penulis adalah seorang yang mahir dalam bidang Tafsir al-Quran). Juga renungan hikmah yang kita perolehi disebalik ujian besar COVID-19.

Doa-Doa Ketika Wabak
Berkenaan gesaan bacaan Yasin untuk menghentikan/menghindari wabak. Penulis menerangkan keutamaan mengamalkan doa-doa menghindari wabak yang dibaca dan diajar oleh Nabi SAW, berbanding hanya membaca Yasin. Penulis juga mengajak kita mengamalkan doa tawassul - menggunakan nama Allah. Semuanya dijelaskan dengan baik dan mudah saya faham.

Isu-Isu Semasa
Antara isu yang dikupas penulis adalah berkenaan fenomena nujum tilik 'dengan al-Quran' - ada yang mengaitkan ayat 33 surah al-Ahzab dengan PKP dan COVID-19. Sedangkan ia tiada kaitan. Penulis mengingatkan kita tentang amaran Nabi SAW - bahawa sikap memandai-mandai dengan al-Quran tanpa ilmu yang benar dan sahih boleh membawa kita ke neraka.

Isu lain yang disentuh dan dikupas adalah isu tutup masjid, hand sanitizer yang diruqyah dan lain-lain lagi. Semuanya dijelaskan dengan hujah al-Quran dan hadis.

Muslim Mencari Hikmah
Sebagai Muslim kita seharusnya mencari hikmah dalam setiap kejadian. Penulis mencatatkan antara hikmah PKP adalah menjadikan rumah kita sebagai masjid ganti, menjadi tumpuan malaikat. Memang betul, bila masjid tutup maka inilah peluang kita untuk mendirikan solat berjemaah bersama keluarga, tadarus al-Quran dan pengisian ilmu/ibadah lain. Teringat kisah seorang sahabat saya yang memberitahu bahawa hari ini, buat pertama kali dia berjaya khatam al-Quran di bulan Ramadan secara bertadarus bersama anak-anaknya. Sesuatu yang tak mungkin dapat dilakukan jika tiada PKP (atas sebab kekangan masa, rutin masing-masing). Inilah hikmah PKP. Saya tumpang gembira dan bahagia dengan pencapaian keluarga sahabat saya ni.

Penulis juga menjelaskan bahawa COVID-19 dan PKP menjadi sebab mendapat pahala syahid dan pahala mematuhi pemimpin. Bagi mereka yang meninggal dunia disebabkan wabak COVID-19, kematian mereka dikategorikan sebagai mati syahid. Bagi kita yang kekal bertahan duduk di rumah, juga mendapat ganjaran syahid kerana sabar dan reda dengan wabak dan mendapat ganjaran pahala kerana mematuhi arahan pemimpin. Ya, di dalam Islam hukum mematuhi arahan pemimpin adalah wajib selagi arahan tersebut tak bercanggah dengan agama.


Membaca buku ini membuatkan kita merasa lebih tenang melalui PKP yang bersambung-sambung fasanya. Juga lebih faham dan tersedar dengan pesanan yang Allah sampaikan kepada kita menerusi sebuah musibah pandemik.

Reka letak buku digital ini juga menarik, mudah dibaca dan tak membosankan. Cuma saya kurang puas hati sebab tak boleh 'menconteng' seperti kebiasaan bila membaca bahan ilmiah...haha! Maka saya dah merancang nak memiliki buku versi fizikal yang sekarang sedang dalam proses cetakan. Mudah nak belek-belek lain kali.

Bagi yang nak mendapatkan buku ini sama ada versi digital atau buku fizikal, boleh beli di Instagram : Warung Kaki Buku. Ada harga promosi sepanjang Ramadan.


Hari Raya Aidilfitri 2020 - Kita 'Back To Basic'!

$
0
0
Insya Allah pada hari Ahad kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, hari kemenangan umat Islam setelah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan. Tetapi disebabkan kita masih berada dalam serangan makhluk yang tak nampak dek mata kasar (Coronavirus), maka Hari Raya kita akan jadi jauh berbeza berbanding sebelum ini. Tiada lagi meraikan Raya secara budaya Melayu yang meriah, tetapi kita masih boleh meraikan Raya menurut syariat Islam. Kita back to basic!


Sambutan Hari Raya Aidilfitri Menurut Islam
Antara perkara-perkara ibadah sunat yang dituntut untuk kita lakukan pada Hari Raya Aidilfitri adalah seperti berikut :
  1. Bertakbir sebaik sahaja selepas terbenamnya matahari pada malam raya sehingga sebelum mendirikan solat sunat Hari Raya. Tak tau atau malu-malu nak bertakbir? Buka je YouTube cari 'Takbir Raya Aidilfitri'. Lepas tu kita ikut bertakbir sama.
  2. Menghidupkan malam Hari Raya dengan zikir, solat sunat. Bukan menghidupkan malam raya dengan masak tak siap-siap atau bermain mercun sampai nak terbakar bumbung rumah jiran. Tak salah sibuk memasak atau main bunga api untuk bergembira, tapi jangan lupa buat ibadah sunat jugak ya.
  3. Niat mandi sunat Aidilfitri pada pagi Hari Raya. Kita mandi macam biasa, cuma tambah niat 'Sahaja aku mandi sunat Aidilfitri kerana Allah'.
  4. Memakai pakaian yang paling baik kita ada. Bukan mesti pakai pakaian yang baru dibeli tau, kena faham tu. Jadi jangan sedih kalau tak ada baju baru ya.
  5. Makan (walaupun sedikit) sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya.
  6. Menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Hukumnya sunat muakkad (sangat dituntut).

Menunaikan Solat Sunat Aidilfitri Di Rumah Masing-Masing
Buat pertama kali dalam sejarah hidup kita, tiada solat sunat Aidilfitri di masjid. Ini kalilah...semua ketua keluarga bakal beraksi sebagai imam di rumah masing-masing. Inilah antara hikmah wabak yang melanda. Walaupun hukumnya sunat, tapi rugilah kita tak tunaikan solat yang hanya boleh dibuat bila tiba 1 Syawal saja. Solat sunat ini ditunaikan sebagai tanda kita meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Bagi diri saya, sebelum ini sudah agak biasa mendirikan solat sunat Aidilfitri secara sendirian. Kerana pada masa dulu di Johor bukanlah satu budaya bagi orang perempuan ikut menunaikan solat sunat Hari Raya di masjid. Kalaupun bukan di seluruh Johor, tapi begitulah budaya di tempat saya dan tempat suami. Orang lelaki je yang pergi dan kami orang perempuan dengan kesibukan sendiri (siapkan makanan, sibuk isi balang kuih). Bila makin dewasa dan tau keutamaan solat sunat tersebut, saya mula melakukannya sendirian. Nak berjemaah dengan ahli keluarga perempuan yang lain agak sukar, masing-masing sibuk sendiri.

Alhamdulillah...entah mulai tahun bila, budaya tersebut perlahan-lahan berubah. Mula-mula sikit je jemaah perempuan yang ikut solat sunat di masjid. Dan lama-lama bertambah ramai dan meriah. Itu pengalaman saya yang dibesarkan di Pontian, Johor dan kemudiannya berkahwin dengan orang Batu Pahat, Johor. Maka kemudiannya dapatlah saya bersama suami dan mak/mak mertua beriringan ke masjid, kenangan yang indah!


Tatacara Solat Sunat Aidilfitri Di Rumah
  • waktu solat sunat Hari Raya bermula selepas terbit matahari sehingga gelincir matahari. Cakap mudahnya, kita di Malaysia boleh mula solat sunat bermula pukul 8 pagi sehingga sebelum masuk waktu Zohor.
  • solat sunat Hari Raya dilakukan sebanyak 2 rakaat sahaja.
  • sunat membaca سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَر diantara selang lafaz takbir yang dibaca sebanyak 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua.
  • niat dalam hati : 'Sahaja aku solat sunat hari raya aidilfitri dua rakaat imam/makmum kerana Allah Ta'ala'.
  • untuk rakaat pertama : sunat membaca doa iftitah → lafaz takbir 7 kali→ membaca surah al-Fatihah → membaca surah pilihan (sunat membaca surah al-A'la) → teruskan solat hingga selesai rakaat pertama.
  • untuk rakaat kedua : lafaz takbir 5 kali (selain takbir perpindahan dari sujud ke qiam /berdiri tegak) → membaca surah al-Fatihah → membaca surah pilihan (sunat membaca surah al-Ghaasyiah) → teruskan solat hingga selesai rakaat kedua.

Solat Sunat Aidilfitri Tanpa Khutbah...Bolehkah?
Boleh, solat sunat kita tadi tu tetap SAH walaupun tak baca khutbah. Jadi apakah hukum membaca khutbah raya?
  • jika solat secara berjemaah, hukumnya sunat bagi imam membaca khutbah hari raya (sebanyak dua khutbah sama seperti khutbah Jumaat dari sudut rukun dan perkara sunat dalam khutbah).
  • jika solat sendirian, tidak dituntut membaca khutbah.

Panduan khutbah hari raya : selesai solat, imam berdiri menghadap makmum dan menyampaikan dua khutbah → khutbah dimulakan dengan lafaz takbir 9 kali berturut-turut pada khutbah pertama dan 7 kali berturut-turut pada khutbah kedua. Tak perlu mimbar dan tongkat ya, sebab di rumah. Cuma sediakan kerusi atau tempat duduk bagi imam duduk sebentar antara dua khutbah.

Bagi yang nak membaca khutbah hari raya, boleh dapatkan teks khutbah Aidilfitri 1441H yang disediakan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)DI SINI.

Nak baca Kit Panduan Sambutan Aidilfitri di Rumah Semasa PKP COVID-19 oleh JAKIM? Boleh klik DI SINI.

Untuk sahabat blogger semua...


Catatan Sejarah 1 Syawal 1441H

$
0
0
Selamat Hari Raya kepada semua sahabat blogger!
Alhamdulillah...semalam kita dah melalui 1 Syawal yang penuh bermakna dan pastinya begitu berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Lebih terasa berbeza bagi yang terhalang oleh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk pulang beraya di kampung halaman. Semuanya menjadi satu catatan sejarah dalam lipatan kisah hidup kita. Warna-warni kehidupan, mungkin pahit untuk dilalui namun ada kemanisan tersendiri untuk dikenang.

Atas halangan PKP, raya tahun ni saya dan suami tak pulang beraya di kampung kami di Johor. Sebenarnya ini bukan kali pertama kami beraya berdua, seawal tahun pertama berkahwin kami dah merasa beraya berdua sebab suami perlu bertugas pada 1 Syawal. Masa tu kami tinggal di kuarters pekerja, jadi saya cuma menjemput jiran-jiran pekerja asing untuk datang makan juadah raya (yang saya sediakan dengan susah payah sebab itu pengalaman pertama masak segalanya sendiri). Untuk kali kedua ni, takdelah jemput jiran kan...sebab PKP.


Catatan Sejarah 1 Syawal 1441H Bagi Diri Saya :

1. Tiada kesibukan di malam raya. Tiada aktiviti masak-masak dan kesibukan lainnya yang membuat letih badan yang kadang-kala berlarutan hingga lewat malam. Santai dan tenang.

2. Malam raya yang aman dan bebas sakit hati. Tiada 'serangan' mercun bertalu-talu yang menggegar bagai letupan bom, ia berlaku saban tahun sama ada di rumah mak saya atau di rumah mertua. Sehingga hampir tercetus pergaduhan dek bumbung rumah mertua yang rosak dihujani mercun dan tingkap nako rumah mak saya yang pecah (serta ada kesan terbakar pada langsir) dek lontaran mercun jiran. Anak saudara yang masih bayi pun terkejut dari lena dan menangis. Aduan polis? Pernah adik saya telefon mengadu, tapi jawapannya menghampakan. Masalah tak selesai. Hiduplah kami tahun demi tahun dengan perangai manusia yang pentingkan diri sendiri dan tak terima teguran, hanya masa mampu menyelesaikannya.

3. Menu raya yang sedikit. Pagi raya selepas solat Subuh, saya memulakan kerja memasak. Nasi impit segera dah pun dimasak semalam dengan cara yang mudah dan pantas - menggunakan PPC (Philips Pressure Cooker). Pagi raya selepas solat Subuh, saya terus ke dapur mengukus ketupat palas frozen, memasak Daging Masak Sate menggunakan PPC (daging sudah diperap dengan bahan perapan sejak semalam) dan memasak Lodeh. Bila berdua saja tak perlulah bermacam menu. Saya masak Daging Masak Sate sebab tu makanan kegemaran suami dan merupakan semacam hidangan wajib keluarga sebelah suami. Masak Lodeh pula sebab nak ada kuah dan sayuran, juga sebab ia antara hidangan tradisi bagi orang Jawa Johor. 

4. Menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri secara berjemaah di rumah. Kami mulai solat sekitar pukul 9.20 pagi. Terlewat sedikit daripada jadual asal sebab nak selesaikan hal di dapur. Terasa lain perasaannya bila solat sunat raya kali ini berimamkan suami.

5. Mendengar khutbah raya daripada suami. Pada awalnya saya sangkakan tiada khutbah raya (bukan syarat sah solat sunat raya, tak mengapa tak buat). Tapi semasa saya sibuk di dapur memasak awal pagi tadi, rupanya suami pula sibuk berlatih membaca teks khutbah JAKIM di ruang tamu. Alhamdulillah...buat pertama kali dalam hidup dapatlah pengalaman mendengar khutbah raya yang dibacakan oleh suami. Kadang saya nak ketawa sebab rasa macam kelakar dan comel pulak suami baca khutbah, mujur dia tak perasan reaksi saya dek khusyuk menjalankan tugas.

6. Buat video ucapan raya dan video call untuk Mak/Mertua di kampung. Disebabkan internet di rumah Mak saya tak berapa baik untuk kami buat video call, saya pilih untuk rakam video. Selesai solat sunat raya - kami duduk berdua di kerusi ruang tamu, pasang handphone pada tripod dan mula buat video pendek. Terus send ke Mak. Mak reply melalui voice note sambil ketawa-ketawa. Senang hati saya dengar suara Mak bukan dalam nada sedih. Kemudiannya kakak yang berpeluang balik kampung turut berkongsi gambar-gambar raya bersama Mak kami dalam grup WhatsApp keluarga. Manakala untuk mertua, terus buat video call. Walaupun ada gangguan suara, tapi dapatlah saling melihat wajah satu sama lain. Alhamdulillah adanya teknologi membuat kita selalu dekat.

7. Ziarah raya versi PKP. Rumah kami tak berapa jauh dari rumah adik saya (tak sampai 10 minit pemanduan). Tiada perancangan beraya bersama memandangkan adik ipar tak berapa sihat. Jadinya kami ke rumahnya sekadar nak berkongsi juadah raya yang saya masak, hantar depan pintu saja. Tapi kemudiannya kami masuk jugak ke rumah adik memenuhi pelawaannya. Tiada sentuhan fizikal, kami tak bersalaman - raya norma baru.

8. Membeli-belah di Aeon Nilai. Memang tak pernah dibuat seumur hidup - saya ke pusat membeli-belah pada 1 Syawal. Saya dan suami pergi selepas Asar. Orang tak sesak, tapi ramai jugaklah. Masing-masing masih berbaju raya - baju kurung, baju melayu, jubah dan lain-lain. Ramai juga yang sibuk berfoto sana-sini. Satu pemandangan yang asing dan kelakar juga. Kami pula hanya berpakaian santai dan datang dengan tujuan membeli sedikit keperluan kerja suami. Walaupun mulanya agak malas keluar rumah, tapi memandangkan 2 Syawal dah rancang nak berpuasa dan 3 Syawal suami perlu bekerja rentas negeri, maka gagahkan diri ke Aeon pada petang raya.

9. Air fryer raya! Dah agak lama berkira-kira nak beli air fryer, saya dan suami sama-sama dah buat perbandingan dan perbincangan. Dah pilih model apa nak beli. Dah tau harga diskaun terbaik ditawarkan. Jadinya semasa ke Aeon, kami sempat melihat-lihat di bahagian air fryer. Dan...air fryer yang kami nak tu memang sedang beri harga diskaun. Terus jelah beli...hehe.

10. Hari raya yang sangat santai, tak memenatkan dan tak banyak makan. Jauh berbeza dengan raya tahun-tahun sebelumnya. Biasanya selama beberapa hari Syawal tu akan kepenatan berziarah ke rumah sanak saudara dan perut sentiasa sendat dengan juadah raya.


Saya akhiri 1 Syawal dengan rasa syukur kepada Tuhan pemilik alam ini. Yang menghantar wabak juga beserta dengan segala hikmah disebaliknya. Sesungguhnya Allah Maha Tahu dan sebaik-baik perancang. Kita masih berada di Malaysia, tetapi COVID-19 telah mengubah hidup kita sekelipan mata - kita meraikan Syawal bagai berada di negara asing. Tiada masjid untuk menunaikan solat, tiada kemeriahan ziarah raya cara Malaysia, tiada istilah raya pertama kedua dan seterusnya. Hanya ada raya 1 Syawal, di lingkungan sendiri. Begitulah takdir hidup berjalan dengan penuh misteri.

Juadah 1 Syawal kami. Ringkas je, cukuplah untuk dua orang makan. Masak lebih untuk jiran dan adik. Biskut raya pun beli satu jenis, lagi satu jenis adik yang beri.

Suasana dalam Aeon Nilai, sana-sini orang berbaju raya. Mungkin ada keperluan atau mungkin sekadar menghabiskan masa pada 1 Syawal. Pengisian hari raya yang berbeza dari biasa.


Bagaimana dengan catatan sejarah 1 Syawal sahabat-sahabat blogger semua?

Rentas Negeri Sewaktu PKP - Selamat Tinggal Negeri Sembilan!

$
0
0
Sewaktu saya menulis catatan ini, saya sudah berada di Pulau Pinang untuk hari ke-4. Lebih tepat lagi bermula hari Ahad 31 Mei lalu, saya dan suami sudah menjadi penduduk di Pulau Pinang untuk sekurang-kurangnya selama dua tahun. Tuntutan kerja suami membawa kami berpindah dari Negeri Sembilan ke salah sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia ini.

Disebabkan proses berpindah ini memerlukan kami merentas negeri sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami ke Balai Polis terdekat untuk membuat permohonan rentas negeri bagi dua orang. Tertera pada pintu balai ‘Tiada Permohonan Rentas Negeri. Tiada Borang’. Suasana di Balai Polis agak lengang dan ini memudahkan urusan kami. Suami hulurkan surat arahan kerja kepada pegawai polis bertugas dan menerangkan keperluan berpindah untuk kami berdua. Setelah menjawab beberapa pertanyaan, surat tersebut dicop dan diturunkan tanda tangan. Pegawai polis juga menulis tarikh perjalanan dibenarkan, sebab rentas negeri dan nombor pendaftaran kenderaan dinaiki.

29 Mei - petang hari terakhir di rumah Negeri Sembilan, jiran-jiran memberikan hadiah perpisahan. Beberapa hari sebelum tu pun masing-masing dah memberikan ucapan dan doa di grup WhatsApp. Ada yang terus mesej secara peribadi dengan kata-kata yang membuat saya terasa sedih nak meninggalkan kejiranan yang mesra ni. Setelah lebih enam tahun menetap di situ, malah menjadi penduduk terawal berpindah masuk, memang cukup berat hati nak berpindah. Insya Allah ada rezeki saya akan kembali ke Negeri Sembilan selepas dua tahun.

Rentas Negeri : Dari Negeri Sembilan ke Pulau Pinang
30 Mei - kami bergerak meninggalkan rumah di Negeri Sembilan sekitar pukul 8.05 pagi. Perlu bergerak awal sebab risau jalan sesak dek sekatan jalan raya, juga sebab nak melawat beberapa rumah yang bakal di sewa. Proses pindah rumah kali ini jauh berbeza dari sebelumnya, kami pindah hanya dengan isi muatan sebuah kereta dan kami masih tiada rumah untuk diduduki di Pulau Pinang.

Kami tak berkesempatan cari rumah sebab sewaktu tawaran kerja diterima, PKP Fasa 1 bermula. Diringkaskan cerita, kira-kira seminggu sebelum 1 Syawal suami dapat arahan masuk kerja  di Pulau Pinang (walaupun PKP masih belum berakhir). Bermulalah detik-detik kesibukan menguruskan itu ini - nak meninggalkan rumah hampir 400 kilometer tanpa tahu bila boleh kembali (sebab bergantung kepada PKP).

Bertemu sekatan jalan raya (SJR) yang pertama - lokasi di Sepang (sebelum susur keluar bandar Serenia). Kenderaan tak banyak, tak perlu beratur lama.

Lebuhraya pada keseluruhannya agak lengang, perjalanan lancar. Tapi hati-hati jangan memecut, sebab ada polis trafik menunggu di pembahagi jalan tu...hehe.

Bertemu sekatan jalan raya (SJR) yang kedua (juga terakhir) - lokasi di Behrang. Masa ni perlu menunggu agak lama untuk melepasi sekatan.

Kira-kira pukul 11.50 pagi, kami berhenti untuk makan di R&R Bukit Gantang, Perak. Saya bawa bekalan yang di masak semalam dan dipanaskan awal pagi tadi. Kami makan di dalam kereta. Saya kemudiannya sempat memerhati sekitar R&R sewaktu nak ke tandas, keadaan sunyi dan lengang. Semua tempat duduk, gazebo, kedai dililit dengan pita merah putih. Hanya terdapat sebuah kedai makan beroperasi. Di dalam tandas juga dipasang pita merah putih pada sinki untuk penjarakan sosial. Segalanya menjadi berbeza dek kerana serangan wabak 😟

Alhamdulillah perjalanan lancar. Sekitar pukul 1.20 tengah hari, kami tiba di sini...terus menuju ke rumah sewa untuk tujuan lawatan. Sebelumnya, suami dah pun buat dua temujanji dengan dua orang ejen untuk melawat rumah sewa. Walaupun badan terasa penat, mata mengantuk, tapi perlu gagahkan diri untuk misi mencari rumah sewa pulak. Kot boleh terus masuk memang rezekilah, kot tak boleh masuk kami akan menginap di hotel bajet berhampiran. Dan kalau dua-dua rumah ni kami tak berminat, misi pencarian akan diteruskan esok pula. Fuh...

Misi Mencari Rumah Sewa di Pulau Pinang

$
0
0
Sambungan kisah dari catatan saya sebelum ini - DI SINI.

Disebabkan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tak dapatlah kami mencari rumah secara kebiasaannya (cari, lawat, basuh rumah dan pindah masuk). Apa yang boleh kami buat dari kejauhan hanyalah mencari di internet (Facebook, mudah.my dan lain-lain).

Kami tetapkan ciri-ciri seperti kadar sewa maksima, jenis-jenis rumah pilihan, ada perabot asas, rumah dalam komuniti Muslim, berhampiran kedai runcit/kedai makan, rumah sedia diduduki segera dan paling utama mesti hampir dengan lokasi tempat kerja suami. Berdasarkan ciri-ciri tersebut kami buat carian, kemudian hubungi pemilik rumah/ejen untuk info lanjut dan seterusnya buat temujanji untuk melawat rumah pada hari kami tiba di Pulau Pinang (hari Sabtu) atau hari seterusnya (hari Ahad).

Daripada senarai yang ada, hanya ada dua sahaja yang sedia untuk kami lawati pada hari Sabtu dan yang lainnya masih tak dapat buat temujanji. Kedua-duanya diuruskan oleh ejen. Maka pada petang Sabtu sebaik tiba di Pulau Pinang, kami terus melawat kedua-dua buah rumah tersebut.

Alhamdulillah rumah kedua menepati citarasa dan ciri-ciri yang kami tetapkan. Rumah pun dalam keadaan bersih, tak perlu penat membasuh lantai. Walaupun komisen ejen yang dikenakan adalah paling tinggi berbanding calon-calon rumah sewa lain, iaitu sama dengan kadar sebulan sewa. Tapi lepas tu dapatlah kurang RM100...jadiklah, huhu.

Petang Sabtu melawat rumah, malamnya terus buat keputusan dan bayar sewa satu bulan. Hari Ahad pukul 3 petang terus tandatangan surat perjanjian dan selesaikan baki bayaran (deposit sewa dua bulan, deposit bil utiliti, deposit kad akses, bayaran surat perjanjian dan komisen ejen). Kemudian dapat kunci dan terus masuk rumah.

Saya mop lantai dua kali, suami pulak buat kerja memasang langsir (tuan rumah dah sediakan tapi belum siap pasang). Siap dua kerja tu, terus angkut barang-barang dari kereta. Penat sangat, tapi gagahkan diri untuk siapkan semua urusan.

Proses cari rumah dan pindah masuk paling pantas yang pernah kami lalui! Haha...yelah kan, dah terdesak perlu masuk cepat dan jumlah perlu bayar pun tinggi. Pejam mata jap bab aliran duit.


Alhamdulillah...duduk sini hari-hari dapat tengok senja nan indah! Tercapai jugak keinginan saya nak merasa duduk rumah tinggi yang nampak pemandangan luas. Yang ni tak termasuk dalam ciri-ciri yang kami tetapkan, hanya tahu masa datang melawat rumah. Bonus!

Kedudukan rumah dekat je dengan Klinik Kesihatan, kedai makan, pasaraya C Mart dan boleh dengar azan setiap kali masuk waktu solat. Tempat yang tak sunyi dan tak terlalu sibuk (setakat pemerhatian beberapa hari ni).

Saya bersyukur kepada Allah yang memudahkan segala urusan perpindahan kami, juga berkat doa semua - keluarga, kawan dan jiran. Terima kasih semua yang mendoakan, sesuatu yang sangat saya hargai. Semoga saya terus selesa tinggal di sini untuk tempoh dua tahun dan dapat segera kembali ke rumah sendiri yang sentiasa di hati.

Penjarakan Sosial

$
0
0
Sekadar merakam sedikit gambar berkaitan penjarakan sosial untuk kenang-kenangan. Sebuah perubahan cara hidup akibat serangan makhluk halus bernama Corona.

Lokasi : AEON Nilai
Cara ni paling biasa, garisan pendek atau panjang dibuat untuk menetapkan jarak 1 meter antara pelanggan yang beratur memasuki premis.

Lokasi : IKEA Batu Kawan
Berbeza dari tempat lain, di sini menggunakan tanda bulat. Nampak lebih elok.

Lokasi : AEON Bukit Mertajam
Garisan petak di dalam lif. Yang ni ada 5 petak, biasa yang saya jumpa ada 4 petak saja. Setakat ni Alhamdulillah di mana-mana lif yang saya naiki semua orang mematuhi norma baharu ni.

Lokasi : The Chicken Rice Shop
Ini merupakan kali ke-2 saya makan di luar semenjak PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Sebelum masuk perlu check suhu, rekod nama/nombor telefon dan gunakan hand sanitizer. Setiap meja cuma boleh dua orang dengan kedudukan tidak bersebelahan/berhadapan. Juga bukan semua meja boleh diduduki untuk menjaga jarak.

Kelmarin (Sabtu), buat pertama kali saya makan di luar - di sebuah kedai makan biasa. Sementara menunggu baju sedang dicuci di pusat dobi layan diri, saya set masa pada jam mengikut masa mencuci baju dan cepat-cepat ke kedai makan berdekatan. Memandangkan kami baru berpindah rumah dan belum sedia nak masak-masak, memang kerap kami beli makanan bungkus dan makan di rumah saja. Tapi kali ni perut dah lapar sangat tak dapat tunggu habis urusan di pusat dobi.

Masuk je kedai makan, suami bertanya “Boleh makan sini?”. Orang kedai jawab sambil tersenyum “Dating boleh, bawak anak tak boleh”. Meja sudah sedia berjarak agak jauh antara satu sama lain, setiap meja hanya untuk dua orang, siap bertanda X atas meja untuk menghalang orang duduk lebih dua orang semeja. Tapi takdelah check suhu, rekod nama/nombor telefon tu...walaupun saya nampak ada sebuah meja diletakkan dibahagian hadapan kedai dengan peralatan check suhu, buku dan hand sanitizer.

———————————————————

10 Jun 2020 bakal bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di mana kita akan mula menikmati kebebasan hidup berbanding 84 hari sebelum ini. Dah boleh rentas negeri, masing-masing dah mula merancang nak balik kampung atau bercuti.

Tapi yang pasti, apa pun perancangan kita mestilah utamakan keselamatan diri dan orang sekeliling - jangan berada di tempat awam jika tak sihat, sentiasa pakai face mask di tempat awam, amalkan jarak sosial, sentiasa bersihkan tangan sebelum/selepas masuk premis/menyentuh benda yang kerap disentuh ramai orang. Memang yang terbaik duduk diam di rumah, tapi kadang kita ada keperluan untuk keluar. Jadi, keluarlah dengan mengamalkan norma baharu ya! 😷


‘Return / Refund’ Item Di Shopee

$
0
0
Kisah awal bulan Mei lalu...saya buat belian sehelai seluar Palazzo melalui sebuah kedai di Shopee. Sebelum membuat belian saya akan cari penjual yang boleh beri harga tawaran terendah untuk item yang sama, caranya cuma klik ‘similar’ pada gambar iklan item yang kita berminat tadi. 

Hasil carian, saya dapati kedai ni menawarkan harga paling rendah dan saya boleh gunakan baucer free shipping. Saya lihat review, rasa yakin dan teruskan pembelian. Saya agak teruja sebab saya pernah beli seluar ni (gambar iklan yang sama, tapi dari penjual lain dengan harga lebih tinggi). Seluar yang memang lembut selesa, longgar dan kemas buatannya.

Tak menunggu lama, item yang dibeli pun sampai. Tapi saya rasa sangat kecewa, sedih dan marah...seluar yang diterima bukan seperti dalam iklan. Potongan berbeza, bahagian pinggang berbeza, kain kasar keras, buatan tidak kemas dan jarang! Tak padan dengan harga RM30. Memang bukan seluar yang saya mahu - seperti dalam iklan. Penjual dah melakukan kesalahan menggunakan gambar iklan pihak lain untuk menjual item yang jauh berbeza😡

Tarik nafas dalam-dalam dulu, kasi tenang fikiran barulah boleh bertindak. Lepas terima item kita perlu klik ‘order received’ atau klik ‘return/refund’. Maka saya pilih klik ‘return/refund’. Isi maklumat seperti yang diminta oleh Shopee - gambar bukti, alasan. Pihak Shopee akan kemukakan permintaan kita kepada penjual.

Alhamdulillah...penjual tak berdalih dan pantas terima permintaan untuk saya pulangkan item dan dapat kembali duit saya. Jika penjual tak mahu? Maka Shopee akan membuat pertimbangan sewajarnya mengikut siasatan mereka. Dan ini mungkin mengambil masa lebih lama, seperti yang terjadi kepada seorang sahabat saya.

Langkah seterusnya, saya perlu pos kembali dalam tempoh masa ditetapkan dan print ‘air waybillyang disediakan oleh Shopee untuk tujuan pengeposan percuma (ditanggung oleh Shopee sebab item saya beli termasuk dalam item free shipping oleh Shopee). Jika tidak, kos mungkin ditanggung oleh saya atau penjual (bergantung kepada hasil perbincangan bersama).

Lepas penjual mengesahkan item yang dikembalikan, kita pun dapatlah duit kita semula. Alhamdulillah masalah selesai!

Gunakan hak kita sebagai pengguna, jangan cepat rasa ‘tak apalah...bukan rezeki aku 😔’. Lepas kita berusaha tapi masih menemui jalan buntu, barulah boleh mengalah. Insya Allah ada ganjaran baik atas kesabaran kita menghadapi ujian permasalahan.

Viewing all 915 articles
Browse latest View live