[Catatan Trip ke Bangkok - Hari Keempat | Sabtu, 1 Julai 2023]
Keluar dari Chatuchak Weekend Market, kami terus balik ke hotel KC Place Pratunam dengan menaiki tren. Kami berehat melegakan penat kaki dan menunaikan solat jamak di bilik.
Lebih kurang dua jam kemudian iaitu sekitar pukul 6.20 petang, kami keluar untuk ke Central Rama 3. Semalam (hari ketiga) kami gagal sampai ke Central Rama 3 - baca kisahnya DI SINI. Jadinya kali ini kami gunakan cara paling mudah, iaitu pergi naik teksi atau e-hailing.
Mulanya nak gunakan khidmat e-hailing, tapi setelah beberapa ketika Encik Suami mencari masih tak dapat jugak. Mungkin sebab waktu puncak, permintaan melebihi penawaran. Jadinya kami keluar ke jalan besar dan menghampiri teksi yang ada di situ. Encik Suami buat tawar menawar harga tambang dengan pemandu teksi berdasarkan tambang di aplikasi e-hailing tadi. Dapatlah kami ke Central Rama 3 dengan bayaran 300 Baht dan tol 50 Baht. Berkenaan laluan tol, pemandu teksi akan tanya kita sama ada nak ikut tol atau tidak. Terpulanglah kita nak cepat sampai atau nak santai-santai menghadap sesak di jalan biasa.
CENTRAL RAMA 3, YAN NAWA, BANGKOK
Central Rama 3 - sebuah pusat beli-belah yang terletak di Jalan Ratchadapisek, Yan Nawa, Bangkok.
Jalan-jalan di pusat beli-belah bukanlah perkara yang saya suka lakukan, tapi saya ikut saja kehendak Encik Suami yang beria nak ke sini. Sewaktu ke Medan, Indonesia saya ajak beliau ke Sun Plaza semata-mata nak menambah koleksi karya Tere Liye 😁. Jadinya kali ini giliran Encik Suami pula ‘heret’ saya ke Central Rama 3 bagi menambah koleksi beliau pula. Koleksi apa? Biarlah rahsia 🤫
Sedang berlangsung ‘The Greatest Grand Sale’. Jangan tanya barang apa yang ‘sale’ dan berapa banyak diskaun. Saya tak tengok barangan lain pun, cuma buat-buat membelek barangan yang Encik Suami cari 😄
Sebelum beredar keluar, kami ternampak gerai menjual buah. Geram pulak tengok buah-buahan yang dijual, besar dan segar. Kami cuma beli buah laici, ini pun kena makan habiskan cepat sebab esok petang penerbangan pulang ke Malaysia.
Tadi kami datang naik teksi, baliknya kami dapat naik kenderaan e-hailing Bolt. Perjalanan dari Central Rama 3 ke Jalan Phetchaburi dikenakan tambang 129 Baht dan tol 50 Baht. Kami tak terus balik ke hotel di Jalan Ratchaprarop sebab nak makan malam.
SANTAI MALAM
Selesai makan malam di Asma Kitchen di Lorong Phetchaburi 7, kami berjalan santai menuju ke stesen Phaya Thai. Menikmati suasana pada malam terakhir kami di Bangkok.
![]() |
Pukul 9 malam | Lorong Aram Si. |
Inilah antara laluan yang menghubungkan Lorong Phetchaburi 7 dengan jalan besar menuju ke stesen Phaya Thai. Lorong yang kami lalui selama empat hari berturut.
Dalam foto di atas merupakan antara bahagian laluan paling sempit, melewati rumah-rumah penduduk di kanan dan kiri laluan. Biasanya kalau lalu waktu siang kami berjalan tak memandang kanan kiri bagi menghormati privasi penduduk. Saya ambil foto waktu malam supaya tak kelihatan jelas rumah penduduk, namun cukup sebagai memori untuk saya kenang pada masa akan datang.
Di sebelah kiri itulah stesen Phaya Thai yang menempatkan tren ARL dan BTS. Foto dirakam dari jejantas menuju ke stesen.
Sebelum tu kami duduk melepak di bawah, di sebuah dataran kecil berhadapan bangunan The Unicorn. Kami duduk menikmati suasana malam yang nyaman dengan hembusan angin dan memerhati suasana sekitar yang tidaklah terlalu sibuk seperti waktu siangnya. Saya memerhati langit malam di sini yang kelihatan cerah, juga gumpalan awan memutih bergerak laju.
![]() |
Pukul 9.15 malam | The Unicorn |
Sambil duduk melepak, saya cuba memotret foto bulan yang bersinar indah.
![]() |
Pukul 10 malam | Jalan Ratchaprarop |
Dah puas bersantai, kami meneruskan perjalanan menaiki tren ARL di stesen Phaya Thai dan turun di stesen Ratchaprarop untuk kembali ke hotel penginapan.
Di lorong menuju ke hotel. Bangunan penginapan kami terletak di sebelah kiri.
Hari keempat mencatatkan rekod tertinggi langkah kaki saya, iaitu sebanyak 21,981 langkah dengan kiraan jarak sejauh 14.53 km. Terima kasih Allah yang memberi upaya untuk kaki terus melangkah.
.